Sekretariat diwakili oleh wakil-wakil daripada anggota Gabungan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO), parti-parti politik dan mahasiswa.
Tarikh 1 Ogos 2009 dipilih sempena 49 tahun ISA yang digubal pada 1 Ogos 1960. Selama 49 tahun negara dinaungi kezaliman ISA. Masa yang terlalu lama untuk negara dibiarkan diselubungi dengan akta yang empunya kuasa amat luas menahan tanpa bicara, menghukum tanpa bukti dan memenjarakan tanpa tempoh menentu. Sudah tiba masanya akta usang itu bukan sahaja dikajisemula tetapi dimansuhkan sama sekali.
Himpunan MANSUH dianjurkan dengan hasrat untuk rakyat menzahirkan sikapnya secara jelas dan lantang dengan membuat tiga tuntutan:
a. Bebaskan semua tahanan ISA
b. Mansuhkan ISA
c. Tutup Kem Kamunting – Kem ’Guantanamo’ Malaysia
Jika kita lihat dari perspektif hak asasi manusia ternyata ISA ini merupakan akta yang telah menyalahi keadilan manusia sejagat. Kita perlulah meletakkan keutamaan tinggi kepada kempen memansuhkan ISA kerana penggunaan ISA bermotif politik dan kuasanya terlalu luas dan merbahaya kepada kesejahteraan rakyat. Oleh kerana tidak dibicarakan, Kerajaan berkuasa menutup mana-mana kes tanpa melibatkan sebarang siasatan atau dakwaan di mahkamah. Tiadanya ketelusan dan pertanggungjawaban menjadikan ISA sebagai antara penyebab suburnya rasuah, keganasan polis dan salahguna kuasa.
ISA telah memusnahkan konsep asas undang-undang berperlembagaan. Ia mencemar asas pengasingan kuasa. Ia membenarkan kuasa eksekutif melangkaui kehakiman dengan menahan seseorang tanpa waran, tanpa bicara dan tanpa hak peguam. ISA telah menghapuskan apa juga semakan undang-undang yang disyorkan perlembagaan. ISA juga membenarkan kuasa yang luas, arbitrari(tidak berasaskan pertimbangan yg tertentu) dan tidak boleh dicabar mahkamah yang menyebabkan berlakunya penyeksaan fizikal dan mental.
Kemuncak asas-asas ISA ialah elemen mengancam, mengugut dan mewujudkan rasa takut dan gerun…”climate of fear”…”under siege mentality”… sehingga merencatkan daya fikir dan teguran berani serta fitrah manusia yang bebas.
Atas sebab keadaan ini, atas sebab kezaliman berterusan dengan penahanan tanpa bicara, arbitrari, tanpa pembelaan dan tanpa diketahui bilakah dibebaskan, penganiayaan ke atas isteri, anak dan keluarga dan atas tuntut keadilan, maka rakyat perlu zahirkan kebenciannya terhadap ISA dan mendesak Kerajaan bertindak segera mansuhkan ISA. Tindakan populis dan berlengah-lengah oleh Kerajaan mesti dihentikan. Rakyat tidak harus terpedaya dan membenarkan amalan begini berterusan.
Sebagai seorang mahasiswa, tidak perlulah kita takut dalam mengeluarkan pendapat dan pandangan mengenai akta ISA yang jelas telah menunjukkan kezaliman dan menutup segala kebenaran. Begitu juga dalam aspek hak asasi mahasiswa yang bebas untuk bercakap, berhimpun dan berpesatuan.
Memansuhkan ISA bukanlah bererti mahasiswa cuba terlibat dalam politik dan melawan kerajaan pada hari ini. Memansuhkan ISA bagi mahasiswa adalah ingin mewujudkan masyarakat yang aman dan pada masa sama, menjunjung ketertinggian perlembagaan dan kedaulatan undang-undang agar negara kita terus dihormati masyarakat antarabangsa terutamanya badan-badan hak asasi antarabangsa.
0 ulasan:
Post a Comment