Mari Istighfar

Thursday, August 20, 2009

TAQWA : Objektif Madrasah Ramadhan

Firman Allah SWT yang bermaksud,

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu berpuasa, semoga kamu bertaqwa kepada Allah.”

[Surah al-Baqarah : 183]

Ayat di atas jelas menegaskan bahawa perkara asas yang ingin dicapai melalui ibadah puasa yang difardhukan ini ialah Taqwa. Tanpa taqwa, ertinya ibadah puasa yang dilakukan oleh kita selama sebulan tidak mencapai objektif sepertimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Ini bermakna puasa kita gagal mendapatkan taqwa melalui aktiviti yang dilakukan sepanjang bulan Ramadhan. Sebab semua orang memahami bahawa kejayaan dalam sesuatu kerja atau urusan ialah melihat kepada hasil atau objektif pelaksanaannya sejauh mana ia dicapai.

Prof. Doktor Wahbah az-Zuhaili (di dalam Tafsir al-Munir) ketika menafsirkan ayat ini menyebut bahawa Ibadah Puasa melahirkan ketaqwaan kepada Allah SWT melalui beberapa faktor :

1. Puasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah dalam keadaan sembunyi atau terbuka. Lantaran tiada siapa yang memantau atau memerhati orang yang berpuasa melainkan Allah. (seseorang boleh makan lalu berpura-pura lapar di hadapan manusia tetapi tidak di hadapan Allah Yang Maha Mengetahui)

2. Mengekang keterlanjuran syahwah dan meringankankan pengaruh serta penguasaannya (lantaran puasa melemahkan gelora nafsu)

3. Mencetus naluri yang peka(sensitive) dan bersifat belas simpati terhadap Insan yang lain (lapar sewaktu berpuasa adalah mengingatkan kita kepada mereka yang miskin dan tidak bernasib baik).

4. Ibadah puasa memahamkan kita pengertian persamaan kedudukan taraf orang-orang kaya dan miskin(mereka di sisi Allah Taala)

5. Meletakkan kehidupan Insan dan pengurusannya di atas sistem (yang benar dan menepati fitrah) dan mendisplinkannya.

6. Memulihkan struktur dalaman tubuh, menguatkan kesihatan dan membebaskan jasad dari sebarang unsur yang memudharatkan jasad.

Sayid Qutub berkata : Demikianlah ayat ini yang menonjolkan matlamat agung dari ibadah puasa itu iaitu untuk mencapai taqwa. Taqwa itulah yang besemarak di dalam hati ketika ia mengerjakan fardhu puasa kerana menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredhaan-Nya.

Taqwa itulah yang mengawal hati dari merosakkan ibadah puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik di dalam hati. Orang-orang yang dihadapkan ayat-ayat al-Quran ini kepada mereka memang sedar betapa tingginya maqam taqwa di sisi Allah dan betapa berat timbangannya di dalam neraca Allah. Taqwa itulah matlamat yang ditujukan oleh jiwa mereka, dan ibadah puasa hanya merupakan salah satu alat untuk mencapai taqwa dan salah satu jalan yang menyampaikan kepada taqwa. Oleh sebab itulah ayat ini mengangkat taqwa di hadapan mata mereka selaku matlamat yang gemilang yang dituju oleh mereka menerusi ibadah puasa.

Semoga kita dapat menghayati ayat ini seterusnya mencapai tahap ketaqwaan melalui ibadah puasa Ramadhan yang akan menjelang tiba. Amin…..

Marhaban Ya Ramadhan