Mari Istighfar

Monday, June 15, 2009

Perginya seorang Tokoh Gerakan Islam

Apabila disebut nama Ustaz Fathi Yakan, teringat akan sebuah buku karangan beliau yang begitu famous iaitu 'Apa Ertinya Saya Menganut ISLAM' atau 'Maza Ya'ni Intima'i Lil-Islam'. Buku ini di antara buku harakah yang paling awal saya kenal dan membacanya. Isi kandungan di dalamnya membuatkan diri ini menemui matlamat hidup dan jalan perjuangan menegakkan Islam.

Akan tetapi beliau sudah kembali ke rahmatullah pada hari Sabtu yang lalu disebabkan serangan angin ahmar. Beliau meninggal dunia pada usia 76 tahun.


Siapakah dia Fathi Yakan?

Syeikh Dr. Fathi Yakan dilahirkan di kota Tripoli, Lubnan pada tahun 1933.

Beliau merupakan seorang ulama terkenal, ketua Jubhah al-Amal al-Islami di Lubnan dan pernah menjadi ahli parlimen Lubnan pada tahun 1992.

Berpengalaman luas dalam medan dakwah Islamiyah dan di antara pimpinan gerakan Islam Antarabangsa yang banyak menghasilkan karya tulisan. Beliau terkenal sebagai penulis dan pengasas gerakan Islam di Lubnan pada tahun 1950-an. Sebelum itu, beliau merupakan aktivis dari gerakan Ikhwanul Muslimin Mesir.

Beliau banyak mengarang pelbagai buku dakwah, tarbiyah dan gerakan Islam. Buku-bukunya menjadi inspirasi pendakwah dan aktivis Islam sehingga kini. Di antara buku-buku karangan beliau adalah Bahtera Penyelamat, Golongan Yang Tercicir Di Jalan Dakwah, Masalah Dakwah dan Pendakwah dan sebagainya.

Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin….

Al-Fatihah....


Friday, June 12, 2009

Tragedi Masjid Al-Furqan di Narathiwat


Imam dan 10 makmum ditembak di dalam masjid ketika sedang menunaikan solat Isyak.

Kejadian berlaku di Masjid Al-Furqan, Kampung Air Tempayan kira-kira 50 kilometer dari Sungai Golok.

Enam penyerang bersenjatakan rifel M-16 dan pump gun, berseragam hitam dan bertopeng melepaskan beberapa das tembakan dari dua pintu masjid dalam tempoh lima minit.

Tradegi terbaru yang menjadikan masjid sebagai sasaran itu berlaku pada hari yang sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melawat Malaysia dan memperbaharui komitmen untuk mengakhiri konflik yang berlarutan sejak 2004 di wilayah Narathiwat yang bergolak itu.

Ia merupakan episod keganasan terburuk dalam masa lima tahun pergolakan di selatan Thailand yang telah mengorbankan kira-kira 3,700 orang.

Selepas kejadian tersebut, beberapa serangan menyusul yang meningkatkan lagi ketegangan di selatan Thailand.

______________________________________________________________________________________________________

Rasullullah SAW bersabda :

“ Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan orang Islam maka dia bukan dari kalangan kita (umat Muhammad SAW).”

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita pembunuhan orang Islam di selatan Thailand. Lebih menyedihkan lagi pembunuhan itu dilakukan di dalam sebuah masjid. Ini suatu perkara yang mesti kita fikirkan dan diberi perhatian lebih-lebih lagi ia melibatkan umat islam.

Jika direnung dan difikirkan, betapa pengecutnya musuh-musuh Islam yang dilaknat oleh Allah yang bertindak bacul menembak orang Islam yang sedang menunaikan ibadah kepada Allah. Mudah-mudahan 11 orang syuhada yang terkorban di hadapan Allah itu pasti akan mendapat ganjaran nikmat syurga.

Umat Islam di rantau ini hendaklah menyedari bahawa mereka adalah satu juzuk daripada umat islam seluruhnya, mereka adalah sebahagian daripada dunia Islam. Mereka menyembah Tuhan yang satu, mengikut dan menjadi umat Nabi yang satu serta berkiblatkan ke arah kiblat yang satu dan mereka berpegang kepada Al-Quran yang sama.

Mereka adalah umat yang bersaudara yang dinyatakan oleh Rasullullah SAW :

“ Bandingan hubungan persaudaraan di kalangan orang-orang Islam itu samalah seperti anggota pada satu jasad, apabila satu anggota merasa sakit maka seluruhnya akan merasa sakit.”

Marilah kita sama-sama memberi perhatian kepada perkara yang mengenai orang Islam, kita menyatakan sikap mengikut kemampuan masing-masing. Yang mampu mengubah kemungkaran dengan tangan maka hendaklah mengubah dengan tangan, yang mampu menggunakan lidah, bertindaklah dengan lidah dan yang selemah-lemahnya ialah benci di dalam hati dan tiada iman lagi apabila tidak ada kebencian di dalam hati.