Mari Istighfar

Monday, June 15, 2009

Perginya seorang Tokoh Gerakan Islam

Apabila disebut nama Ustaz Fathi Yakan, teringat akan sebuah buku karangan beliau yang begitu famous iaitu 'Apa Ertinya Saya Menganut ISLAM' atau 'Maza Ya'ni Intima'i Lil-Islam'. Buku ini di antara buku harakah yang paling awal saya kenal dan membacanya. Isi kandungan di dalamnya membuatkan diri ini menemui matlamat hidup dan jalan perjuangan menegakkan Islam.

Akan tetapi beliau sudah kembali ke rahmatullah pada hari Sabtu yang lalu disebabkan serangan angin ahmar. Beliau meninggal dunia pada usia 76 tahun.


Siapakah dia Fathi Yakan?

Syeikh Dr. Fathi Yakan dilahirkan di kota Tripoli, Lubnan pada tahun 1933.

Beliau merupakan seorang ulama terkenal, ketua Jubhah al-Amal al-Islami di Lubnan dan pernah menjadi ahli parlimen Lubnan pada tahun 1992.

Berpengalaman luas dalam medan dakwah Islamiyah dan di antara pimpinan gerakan Islam Antarabangsa yang banyak menghasilkan karya tulisan. Beliau terkenal sebagai penulis dan pengasas gerakan Islam di Lubnan pada tahun 1950-an. Sebelum itu, beliau merupakan aktivis dari gerakan Ikhwanul Muslimin Mesir.

Beliau banyak mengarang pelbagai buku dakwah, tarbiyah dan gerakan Islam. Buku-bukunya menjadi inspirasi pendakwah dan aktivis Islam sehingga kini. Di antara buku-buku karangan beliau adalah Bahtera Penyelamat, Golongan Yang Tercicir Di Jalan Dakwah, Masalah Dakwah dan Pendakwah dan sebagainya.

Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin….

Al-Fatihah....