Mari Istighfar

Friday, July 10, 2009

PPSMI dimansuhkan 2012

Putrajaya, 9 Julai 2009

Kabinet semalam meluluskan strategi baru untuk memartabatkan bahasa Malaysia serta memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Ini selaras dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia, berkuat kuasa pada 2012.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil pula dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

“Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

“Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu bahasa Melayu di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJKC dan bahasa Tamil (SJKT),”

Pada 2003, kerajaan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), tetapi mendapat bantahan pelbagai pihak terutama pejuang bahasa yang mahu dasar itu dikaji semula.

Muhyiddin menjelaskan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia akan bermula secara bertahap bagi Tahun Satu dan Empat di sekolah rendah serta Tingkatan Satu dan Empat di sekolah menengah pada 2012, tetapi tidak membabitkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi.

Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains merosot daripada tangga ke-20 pada 2003 ke tangga ke-21 pada 2007 dan bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 ke tangga ke-20 pada 2007 wajar dijadikan iktibar.

Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."