Mari Istighfar

Thursday, September 23, 2010

PUAKA UM : Keadilan & Kebebasan



Pada hari esok, Jumaat, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akan memutuskan sama ada terdapat kes prima facie terhadap kelima-lima mahasiswa Akademi Pengajian Islam (API) Univerisiti Malaya yang dituduh atas dakwaan cubaan khianat dengan menggunakan api dan melakukan pencerobohan jenayah pada 24 Jun tahun lalu.

Lima tertuduh dalam kes tersebut ialah Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani,Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli dari Universiti Malaya yang dituduh melakukan jenayah dibawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.


Segak bergaya : Jaisyu Muhammad Saufa Ya'ud........

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani - yang bakal dilalui isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor - dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu kira-kira jam 4 pagi. Manakala bagi Seksyen 436, kelima-lima mahasiswa itu dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama. Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama. Prosiding mahkamah akan bermula jam 8.30 pagi esok. Malaysiakini


Diharapkan agar mereka yang juga merupakan sahabat-sahabat seperjuanganku di kampus UM tabah dan sabar menghadapi ujian ini. Moga Kalian dibebaskan dari segala dugaan ini.



Tuesday, September 21, 2010

Syawal & Puasa 6

Huh!!, lama sudah tak meng"update" blog, asyik dok melayan FaceBook ja. sampai tak sempat nak update blog ni di samping kekangan masa yang pantas berputar meninggalkan manusia-manusia yang lalai dan alpa. Sebelum terlambat saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI kepada pengunjung blog ini. Maaf Zahir & Batin. Dikesempatan ini juga saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada rakan-rakan kerana berjaya menyelesaikan ibadah puasa. Semoga Allah menerima semua amalan kita di bulan Ramadhan yang lalu.

Kegembiraan menyambut Syawal 1431H kali ini terpaksa disambut dengan kesedihan apabila di awal pagi 1 Syawal, hari jumaat, kira-kira pukul 2 pagi, mendapat berita mengejut bahawa nenek yang disayangi telah pulang kerahmatullah akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya. Selang beberapa jam kemudian, sepupu perempuan yg berusia 22 tahun pula meninggal dunia akibat kecederaan parah. Mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Penang untuk pulang berhari raya. Kereta Avanza yang dipandu pakngah yang membawa keluarganya bersama-sama nenek terbabas dan terbalik beberapa kali di lebuhraya PLUS.



Keadaan kereta Avanza akibat dari kemalangan di Highway PLUS di Tambun/Juru


Suara Takbir di pagi raya menjadi sayu apabila jenazah dibawa pulang ke rumahku di Alor Setar, Kedah untuk dikebumikan di sini. Al-Fatihah buat arwah tok dan sepupu di atas pemergian mereka buat selama-lamanya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka berdua dan seterusnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Semua yang hidup pasti akan merasai kematiaan. Namun tidak siapa yang mengetahui tarikh kematiaan dan bagaimana dia akan mati. Jadi marilah kita sama-sama melakukan amal ibadah seolah-olah seperti kita akan mati esok.

Madrasah Ramadhan telah berlalu dan sudah semestinya Syawal juga akan berlalu meninggalkan kita, namum terdapat satu amalan lagi yang merupakan sunnah nabi SAW yang besar ganjarannya iaitu berpuasa enam hari di bulan Syawal.

Rasulullah SAW bersabda :
"Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari di bulan Syawal, Maka samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun." Riwayat Muslim.

Saya ingin berpesan kepada diri saya sendiri dan semua rakan-rakan, bagi yang mampu, Jom kita sama-sama melakukan amalan puasa sunat ni. tapi bagi yang rasa macam tak cukup je puasa bulan ramadhan, qadha dulu yer. Mudah-mudahan kita dapat menambahkan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT :

"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari tuhan kamu, dan ke arah mendapatkan syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa" Surah Ali-Imran (3:133)


Tuesday, July 13, 2010

Bola Memang Bulat

Sepanyol Juara Dunia 2010

Kejohanan Fifa World Cup 2010 di Africa Selatan telah pun melabuhkan tirainya. Kehebatan pasukan Spain menewaskan Belanda dalam saingan Final merupakan saat bersejarah dalam skuad bola sepak Spain yang buat julung kalinya membawa pulang piala yang menjadi lambang kekuatan mereka. Mungkin zaman sekarang ni merupakan kegemilangan bola sepak La Roja kerana menambah koleksi kejuaraan selepas menjulang piala EURO 2008. Dari Juara Eropah, kini bergelar Juara Dunia pulak.

Gol tunggal spain jaringan iniesta


Entah bila la pasukan bola sepak Malaysia dapat menjulang piala ni. lupakan je la, mutu bola sepak negara pun tak konsisten. Biasa la, bola kan bulat, berpusing pulak tu. Harap semangat je tak cukup. Peminat ramai pun bukannya minat dengan perlawanan Liga Super ataupun Piala Malaysia pun, tapi minat tengok EPL. Semua ni disebabkan kurang pemain yang berbakat dan berjiwa besar kot. Boleh jadi permainan hambar yang ditunjukkan oleh pemain dalam negara menyebabkan penyokong lari.

Kalau Malaysia mampu masuk World Cup memang respect la, sebab automatik seluruh dunia kenal dengan Malaysia. Tambah pulak kena belasah dengan pasukan gergasi, pasukan underdog la katakan. sekurang-kurangnya Malaysia jadi terkenal.hehe,

World cup 2010 ni secara keseluruhannya memang menarik dan tertarik. Sebab tak jangka pulak, pasukan hebat-hebat banyak yang disingkirkan terlalu awal seperti pasukan Italy (Juara WC 2006) dan Perancis. Kedua-dua pasukan ni masa WC 2006 dulu merupakan pasukan yang hebat berentap di gelanggang akhir. Namun apakah daya, adat permainan, kadang-kadang menang, adakalanya kalah.

Begitu juga nasib Pasukan Brazil, tak berhasil langsung permainan yang ditunjukkan. dah la Brazil tu team favourite. Argentina pun sama jugak, kalah teruk pulak tu dengan German. Coach dah ok dah. Semangat gila Maradona memimpin Argentina, Namun kalah sekali sudah cukup menyingkirkan pasukan yang Brazil dan Argentina.




Hampir kesemua perlawanan dari start pembukaan Piala Dunia sampai la perlawanan akhir semua aku tengok. kebetulan pulak tengah time cuti semester. Kalau tak tengok live pun, tengok Highlight je kat Astro. Kadang-kadang sampai boring pulak.

Jika melihat aksi pemain-pemain yang terkenal dan ternama beraksi dalam kejohanan WC ni, semua permainan mereka tidak serba menjadi seperti Messi, Kaka, Rooney, dll. Walaupun hebat bermain dalam kelab, namun gagal menunjukkan prestasi terbaik bermain di pentas antarabangsa.

World Cup kali ini penuh dengan pelbagai kontroversi antaranya dari segi mutu pengadilan yang lemah yang menyebabkan gol pasukan England tidak dikira walaupun sudah melebihi garisan gol. Selain itu, pengadilan yang lemah dalam menentukan kedudukan outside mengakibatkan mental sesebuah pasukan menurun dan menyalahkan pengadil.

Bola Jabulani juga menjadi kontroversi pada aksi perlawanan WC kerana mendapat kritikan dari pemain-pemain ternama dunia. Mereka mengatakan bola ini mudah mengubah arah dan menyukarkan gol keeper.

"tangan tuhan" versi baru yang menyebabkan pasukan Ghana kempunan mara ke separuh akhir apabila penyerang Uruguay Luis Suarez menafikan gol pada minit-minit terakhir perlawanan dengan mengunakan tangan seolah-olah dia yang keeper.

Paul mengumumkan persaraan menjadi tukang tilik

Wujud sotong kurita yang bernama Paul yang mempunyai kuasa psikik, ramalannya 100 % tepat sepanjang meramalkan pasukan mana yang akan menang. Sebelum ni, Paul hanya meramal pasukan German. Boleh tergugat akidah umat Islam dengan ramalannya yang tepat itu melainkan orang-orang yang beriman dan berfikir. Selepas ni, ramai la saintis-saintis yang akan membuat kajian tentang kebijaksaan sotong. Begitulah indahnya makhluk ciptaan Allah.

Dengan kemenangan Spain berakhirlah World Cup 2010 di Afrika Selatan. Mungkin selepas ini penyokong Spain akan bertambah ramai dan akan menjadi sebuah pasukan yang digeruni lawan seperti pasukan Brazil dan Argentina. Nantikan kemunculan World Cup 2014 di Brazil.
To be Continue...

SENARAI PENERIMA ANUGERAH

1. Pemain Terbaik Piala Dunia (Bola Emas)
DIEGO FORLAN (URUGUAY)

2. Pemain Muda Terbaik Dunia
THOMAS MUELLER (JERMAN)

3. Penjaga Gol Terbaik Piala Dunia
IKER CASILLAS (SEPANYOL)

4. Penjaring Terbanyak (Kasut Emas)
THOMAS MUELLER (JERMAN)
5. Pemain Terbaik Perlawanan Akhir
ANDRES INIESTA (SEPANYOL)

6. Permainan Bersih (Fairplay)
SEPANYOL


Wednesday, May 19, 2010

Cinta & Kasih

Sirah Nabawiyyah
Suatu kisah perjalanan hidup Rasulullah S.A.W


"Tak kenal, maka tak cinta.." Itulah sebahagian dari kata-kata yg sering kita dengar. Jika kita tidak mengenali seseorang, mana mungkin perasaan cinta akan hadir dalam lubuk hati seseorang. Di kesempatan waktu ini, saya ingin mengajak rakan-rakan untuk kita sama-sama menghayati setiap penceritaan tentang perjalanan Rasulullah s.a.w bermula sebelum kelahiran Baginda sehinggalah kewafatan Baginda.

Allah s.w.t berfirman :

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya : "Katakanlah jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"
(Surah Ali-Imran :ayat 31)

Rasulullah s.a.w bersabda :

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ يُوْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى اَكُوْنَ أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ
"Tidak sempurna Iman salah seorang kamu, sehingga aku lebih dicintai dari orang tuanya, anaknya dan sekalian manusia.
(HR Bukhari & Muslim)


Jelas kepada kita tentang kewajipan mencintai Rasulullah s.aw lebih dari segala-galanya. Cinta kepada Rasulullah s.a.w bermaksud kecenderungan hati seorang muslim kepada Nabi Muhammad s.a.w yang mana kesannya mengatasi cintanya kepada dirinya, ibubapanya, anak-anaknya dan semua manusia lain.

Di antara tanda cinta terhadap Rasulullah ialah :
  1. Mencontohi dan mengamalkan sunnah Baginda
  2. Banyak mengingati dan menyebut namanya
  3. Menyampaikan selawat dan salam kepada Rasulullah s.aw
  4. Membaca dan belajar Al-Quran
Antara cara @ metode untuk menunjukkan kita cinta dan kasih kepada baginda ialah dengan kita membaca buku sirah dan menghayatinya. Di samping membaca, lidah kita sentiasa berselawat ke atas Nabi Muhammad "Sallahu Alayhi Wasallam"

Jom Pakat2 baca buku Sirah Nabi.

Banyak buku-buku dan kitab-kitab menceritakan mengenai sirah Nabi malah Al-quran sendiri merupakan sumber utama dalam menerangkan kisah hidup Nabi Muhammad s.aw.

Antara buku sirah yang sedang saya baca ialah buku " Al-Rahiq Al-Makhtum. Sirah Nabawiyah S.A.W" karangan asal oleh al-Sheikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri. Diterjemah oleh Muhammad Ramzi Omar.

Perbuatan, percakapan, pergaulan dan kepimpinan
Baginda sebagai pemimpin masyarakat dan keluarga harus diteladani oleh semua muslim kerana Baginda mempunyai segala kesempurnaan yang tidak boleh dipertikaikan. Baginda adalah seorang yang maksum namun Baginda tetap tekun dan khusyuk mengerjakan ibadah dan sentiasa memohon keampunan daripada Allah s.w.t.

Jika kita membaca buku sirah, menghayati kisah-kisah di dalamnya, akan memberi kesan kepada diri kita erti sebuah perjuangan Rasulullah membawa risalah Islam. Pelbagai mehnah dan tribulasi dilalui oleh Baginda, namun baginda tetap tabah dan cekal menghadapinya sehingga Baginda wafat. Dengan menghayati kisah ini, sudah tentu membuatkan diri seseorang itu kasih dan cinta kepada diri Rasulullah s.a.w.

Sunday, May 9, 2010

Judi Oh Judi

Perjudian Bolasepak Akan Di'Halalkan'?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman


bola2.jpg

Perjudian adalah satu jenis permainan pertaruhan yang mana pihak yang menang akan meraih wang pertaruhan mereka yang kalah. Tidak dinamakan perjudian jika kedua-dua pihak mencapai kemenangan. Itulah sifat perjudian yang diharamkan di dalam undang-undang Islam. Malah juga dilarang oleh semua agama lain.

Oleh itu, secara peribadi saya terperanjat (malah ramai yang lain juga) membaca kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussien yang menyatakan pertimbangan sedang dibuat untuk meluluskan lessen perjudian bolasepak sempena kejohanan Bola sepak Piala Dunia yang akan datang ini.

HUJJAH BELIAU

Beliau dirakamkan oleh akhabar tempatan berkata :

"Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram)."

BANTAHAN & RASIONAL

Pegeluaran lesen atas alasan untuk mengawal dan mengetahui jumlah wang pertaruhan adalah tertolak di sisi Islam. Sesebuah kerajaan dan pemimpin mestilah lebih kreatif dan bertanggungjawab dalam mencari jalan mengawal perjudian gelap.

Kawalannya bukanlah dengan memberi lesen kerana itu hanya akan lebih memakmurkan gejala tersebut. Tetapi KAWALAN adalah dengan memperkenalkan teknik banteras, hukuman lebih keras dan tahap efisyen yang lebih kemas bagi memerangkap mereka yang terlibat.

Namun apabila lesen diberikan, ia jelas merupakan satu galakan kepada kaki judi dan seterusnya seolah-olah memberi mesej bahawa:

‘Kerajaan ingin tumpang sekaki dalam perjudian mereka"

"Kerajaan ingin turut merasa sedikit imbuhan hasil perjudian mereka yang berjudi, so jika lebih ramai berjudi, lebih baik kepada kerajaan akan mendapat sesuatu"

ANALOGI

Ia seolah-olah kerana kerajaan ingin menbenarkan benda yang tidak benar.

Bolehkah atas alasan mengetahui jumah sebenar & mengawal MAT REMPIT yang berempit di atas jalan raya secara haram, maka KERAJAAN MEMPERTIMBANGKAN PEMBERIAN LESEN MEREMPIT kepada mat rempit di atas JALAN RAYA AWAM. Semua mat rempit mestilah mendaftar dan membayar yuran untuk merempit di atas jalan raya. Bukan LESEN UNTUK merempit di trek lumba dan IA IBARAT memberi LESEN untuk terus merempit di JALAN RAYA.

Merempit di jalan raya awam banyak mudaratnya kepada mat rempit itu sendiri dan juga orang awam. Demikian juga kesnya membenarkan perjudian bola sepak ‘gelap' untuk dijadikan ‘terang' tetapi tetap di atas laluan yang memudaratkan orang awam.

JUSTERU

Kerajaan yang bertanggungjawab MESTILAH sentiasa mengurangkan aktiviti negatif di kalangan rakyat, bukannya meraikan dan meluluskannya.

Sedarilah, perjudian hanya akan menjerumuskan rakyat di dalam :-

a- Kancah hutang dan masalah kewangan lebih serius. Kita bimbang kecenderungan masyarakat Malaysia yang sukakan skim cepat kaya, yang sering diserbu, diharamkan DAN DISITA oleh kerajaan. Namun peliknya, kini kerajaan seolah ingin membenarkan skim tersebut, perjudian adalah salah satu jenis skim cepat kaya, yang sering membawa kayap.

b- Seterusnya membawa kepada masalah dan krisis rumahtangga. Pergaduahan suami isteri, anak mencuri duit ibu ayah untuk berjudi, suami curi duit isteri dan sebagainya,

c- Kita bimbang, hasil lesen yang diberi, kanak-kanak akan turut serta dalam perjudian khususnya secara online. Dan tiada sesiapa boleh menghalang kerana lesen telah diberi oleh kerajaan dan perbuatan itu tidak lagi dianggap satu kesalahan.

d- Masyarakat tidak progresif kerana menjadi lalai untuk meneka dan bertaruh serta menonton bolasepak secara berlebihan. Kalau dulu penonton hanya ‘exited' untuk melihat pasukan yang disokong, kini, bakal menjadi begitu obsess dan tertekan kerana keputusan perlawanan melibatkan wang yang ditaruh.

e- Mendorong rakyat memfokuskan kepada perolehan keuntungan secara cepat tanpa skill, namun akhirnya kerugian sahaja yang lebih kerap menjelma. Manakan tidak, dalam perjudian, peratusan pihak yang menang sentiasa lebih kecil berbanding yag kalah. Bermakna, jika seorang menang dan bergembira atas kemenangannya, yang kalah mungkin 1000 orang yang berduka cita. Dukacita tersebut mungkin tidak berhenti di situ malah berturutan kepada masalah lain, ibarat ‘domino effect'.

f- Kesan buruk kekalahan; kekalahan boleh yang menyebabkan kemarahan, memandu berbahaya di jalan raya, pergaduhan di dalam rumahtangga, kesan psikologi di tempat kerja menyebabkan kurang produktiviti, mungkin dikejar ‘ALONG' kerana berhutang dengan along untuk berjudi.

g- Pemberian lesen itu seolah menjolok sarang Syaitan, kerana kemungkinan ada indifidu yang tidak begitu terdorong untuk berjudi kerana merasa sukar dek kerana ia merupakan aktiviti gelap dan salah dis isi undang-iundang. Namun akibat lesen tersbeut, dorongannya semakin kuat dan dipermudah.

NASIHAT

Buat menteri dan pihak berkuasa yang beragama Islam khususnya, sedarilah tegahan Allah :

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا

Ertinya : Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: ""Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat kecil bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya" ( Al-baqarah : 219)

Dan juga larangan selanjutnya

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Ertinya ; Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan Syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. ( Al-Maidah : 90)

Justeru itu, saya amat berharap agar Menteri Agama dapat segera memberi panduan dalam hal ini. Jika Menteri Agama sependapat dengan Timbalan Menteri Kewangan, kami sekalu ahli akademik sangat ingin mendengar dan membaca justifikasi dan dalil serta hujjah keharusan tersebut JIKA tiba-tiba Menteri Agama atau mana-mana Mufti bersetuju dengan tindakan itu.

Perlu difahami, hujjah maslahat TIDAK BOLEH digunakan sama sekali dalam hal yang JELAS BERTENTANGAN dengan teks Al-Quran dan Hadis. Tiada maslahat dan tidak termasuk di dalam Maqasid al-Shariah dalam mengharuskan perjudian untuk masyarakat.

Oleh kerana isu perjudian adalah isu ‘Qat'ie di dalam Islam, saya AMAT BERHARAP pihak Salafi, Wahabi, Ahbash, Tradisional Pondok, Tarekat Sufi, Syiah, ahli akademik universiti, tabligh dan semua pihak agar tampil menyatakan pandangan dan bantahan mereka. Paling minima di blog dan website rasmi mereka. Jangan hanya berselisih dan berdebat bertahun-tahun dengan begitu kreatif, tetapi SENYAP SUNYI tanpa kenyataan umum dalam hal sebegini.

Disebutkan di dalam kaedah Fiqhiyyah yang dicatatkan oleh Al-Imam As-Sayuti Al-Shafi'i:-

لا يُنْكَرُ المختلِفُ فيه وإنما يُنْكَرُ الْمُجْمَعُ عليهِ

Ertinya : Tidak diingkari dalam hal yang diperselisihkan (ijtihad ulama), namun sesungguhnya keingkaran (bantahan) adalah pada perkara yang disepakati (haramnya)( Al-Asbah wa Al-Nazair, kaedah no 35, hlm 292 )

Tanpa syak lagi, perjudian adalah tergolong di dalam perkara yang disepakati secara ijma' berkenaan pengharamannya. Justeru, bantahan kita dan para ulama terhadapnya adalah SANGAT PERLU.

Jangan biarkan hanya orang politik berkata, kerana apabila orang politik berhujah dan berkata-kata, mereka akan sering dilihat sebagai bermotif politik. Kita perlu mereka yang lain juga agar bersuara, supaya Allah meredhai usaha kita.

Sekian,

Dipetik dari laman web www.zaharuddin.net

_______________________________________________________________

Pada pandangan saya, langkah kerajaan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa berlangsungnya Piala Dunia 2010 adalah salah satu perkara yang memang salah di sisi undang-undang Islam. Mengapa perlunya meng'HALAL'kan perkara yang sudah jelas peng'HARAM'anya di dalam al-Quran.

Banyak langkah pencegahan awal yang perlu ditekankan oleh semua pihak bagi mengawal aktiviti perjudian di negara ini, tetapi bukannya memberikan lesen dalam memberi peluang kepada rakyat 1 Malaysia dalam bersama-sama menyertakan diri mereka dalam aktiviti perjudian.

Adakah kerajaan seolah-olah mahu berjudi bersama atau menggunakan hasil daripada perjudian tersebut untuk membangunkan negara Malaysia. Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek yang mengatakan jika dikeluarkan lesen, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudiaan selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan sukan di negara ini.

Sumber pembangunan sukan ini juga adalah haram disebabkan datang dari hasil yang haram. Seterusnya rakyat Malaysia juga menggunakan prasarana atau kemudahan yang haram.

Akibat dari aktiviti perjudian lebih banyak berbanding daripada akibat kerajaan tidak menyediakan lesen untuk menggalakan rakyat berjudi secara terkawal. Maka jauhilah aktiviti yang berkaitan dengan perjudiaan ini. Kerajaan perlulah memikirkan bagaimana menghalang atau mengurangkan aktiviti perjudian malah perlu berusaha menjauhkan rakyat dari dosa gejala perjudiaan yang tidak sekali-kali tidak mendatangkan manfaat kepada manusia.

Akhir kata, semua pihak yang ingin membanteras gejala perjudiaan ini, seharusnya menyatakan bantahan bagi memastikan tiada lagi unsur perjudian di dalam negara ini. Penguatkuasaan undang-undang Islam perlu diperbincangkan bagi memberi hukuman yang setimpal kepada orang yang melakukan aktiviti perjudiaan yang hanya memikirkan keseronokan dan tamakkan harta tanpa memikirkan secara waras kesan buruk jangka masa panjang kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.


~seLaMat HaRi iBu~

Sempena menghargai pengorbanan ibu yang bersusah payah membesarkan & melahirkan kita, marilah sama-sama kita menghayati lagu nyanyian kumpulan nasyid aeman yang bertajuk untukmu ibu. Semoga kita menjadi insan yang bersyukur kerana dikurniakan seorang ibu yang penyayang. Terima kasih ibu...

Ibu bergenang air mataku,
Terbayang wajahmu yang redup sayu
,
Kudusnya kasih yang engkau hamparkan,
Bagaikan laut yang tak bertepian
.

Biarpun kepahitan telah engkau rasakan,
Tak pula kau merasa jemu
,
Mengasuh dan mendidik kami semua anakmu,

Dari kecil hingga dewasa,


Hidupmu kau korbankan,
Biarpun dirimu yang telah terkorban
,
Tak dapat kubalasi akan semua ini,

Semoga Tuhan memberkati kehidupanmu ibu,


Ibu kau ampunilah dosaku,
Andainya pernah menghiris hatimu
,
Restumu yang amatlah aku harapkan

Kerana disitu letak syurgaku


Tabahnya melayani kenakalan anakmu
Mengajarku erti kesabaran
Kau bagai pelita di kala aku kegelapan

Menyuluh jalan kehidupan


Kasihanilah Tuhan ibu yang telah melahirkan diriku

Bagaikan kasih ibu sewaktu kecilku

Moga bahgia ibu di dunia dan di akhirat sana...


Kasih sayangmu sungguh bernilai
Itulah harta yang engkau berikan Ibu...
dengarlah rintih hatiku untukmu ibu

Saturday, April 10, 2010

Final FA : KEDAH VS NEGERI SEMBILAN


Friday, April 9, 2010

Wala Taqrabuz Zina


Allah swt telah berfirman di dalam Al-Quran dalam surah al-isra ayat 32.

Maksudnya :Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)


Penzinaan diharamkan oleh Islam dan menjadi semakin berleluasa sejak kebelakangan ini. Islam mengharamkan zina dengan dalil yang jelas di dalam al-Quran. Telah disebut di dalam ayat ini bahawa zina tersebut akan membawa kerosakan. Antara kerosakan yang dapat dilihat ialah “pembuangan bayi” yang terjadi hari ini. Di dalam Al Quran sudah menyebutkan bahawa zina itu akan membawa kerosakan, dan di antara kerosakan tersebut ialah jangkitan aids, pembuangan bayi, membunuh bayi dan sebagainya.

Faktor-faktor Berlakunya Pembuangan Bayi

  1. KURANGNYA KEFAHAMAN AGAMA SECARA MENYELURUH

Masyarakat terutama belia masing-masing menjauhkan diri daripada mendalami agama. Mudah tergoda untuk melakukan maksiat tanpa memikirkan halal haram,dosa dan pahala sesuatu perbuatan. Penerapan Aqidah yang tidak jelas menyebabkan akhlak menjadi rosak.



  1. PERASAAN INGIN TAHU DAN INGIN MENCUBA

Pada peringkat usia remaja, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi. Justeru apa-apa sahaja perkara baru yang terjadi di sekeliling mereka akan mengundang perasaan ingin tahu dalam kalangan remaja. Secara tidak langsung membuatkan mereka terdorong untuk mencuba dan melakukan sesuatu perkara tanpa memikirkan baik buruk.

  1. PENGARUH MEDIA MASSA

Media memaparkan pergaulan bebas dalam kalangan remaja menerusi program atau drama yang bersifat hiburan semata-mata.Pengaruh Internet, laman web lucah.Unsur-unsur lucah mudah terdapat dipasaran sama ada dalam bentuk bercetak, CD dan lain-lain.



  1. KERUNTUHAN INSTITUSI KELUARGA

Keluarga mengamalkan sikap terlalu mengongkong atau terlalu memberikan kebebasan kepada para remaja, boleh menjadi penyumpang kepada wujudnya masalah ini.Kesibukan dengan urusan dunia.AI-Quran juga telah menjelaskan kepada kita iaitu azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya dengan baik seperti juga anak-anak yang merupakan amanah Allah kepada kita.

  1. MASALAH KEWANGAN

Faktor ekonomi yang tidak stabil di dalam sesebuah keluarga menyebabkan ada sesetengah ibu bapa sanggup membuang anak dengan alasan anak menjadi beban hidup. Ada juga ibu bapa yang sanggup menjual anak mereka kepada sindiket yang mengambil kesempatan untuk memperdagangkan bayi.

6. FAKTOR YANG MENYUSAHKAN PERKAHWINAN

Budaya masyarakat melayu, umpamanya kos yang melibatkan hantaran dan persiapan perkahwinan yang terlalu tinggimenyebabkan orang merasa susah untuk mendirikan rumah tangga. Jadi, anak muda yang terlalu ghairah tidak dapat mengawal nafsunya akan terpesong dan melakukan zina dan menghasilkan anak luar nikah.

Remaja hari ini dikelilingi dengan sumber yang dapat menjerumuskan diri mereka ke lembah kemaksiatan. Maksiat ada di mana-mana. Pergaulan bebas berleluasa tanpa dibendung. Pergaulan antara remaja lelaki dan perempuan yang pada awalnya atas dasar kasih sayang bertukar menjadi kekejaman selepas melahirkan anak luar nikah.

~sumber- sebahagian dari petikan makalah Metodologi Pengajaran Akhlak.